KUALA LUMPUR – Inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan pautan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) adalah amat bagus bagi meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan dan pengurusan pekerja asing ke Malaysia.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr Sukumaran Nair berkata, pihak majikan mendakwa mereka tidak mempunyai maklumat mengenai cara pengoperasian pautan berkenaan.

“Tiada sebarang pengumuman mengenai penggunaan pautan pengambilan ini oleh Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Sumber Manusia.

“Majikan dan Ejen Pengambilan Berdaftar Swasta tidak mempunyai maklumat tentang cara mengendalikan sistem ini walaupun FWCMS wujud pada era 2016 hingga 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima 111,807 permohonan pekerja warga asing melibatkan lima sektor utama sejal mula dibuka pada 15 Februari lalu.

Saravanan berkata, permohonan dibuat oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, pihaknya terkejut dengan pelantikan syarikat Bestinet Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pautan berkenaan.

“Kami amat terkejut apabila Bestinet Sdn Bhd yang merupakan syarikat kontroversi beberapa tahun lalu semasa skandal pengambilan warga asing muncul semula kali ini dalam program pengambilan semasa dengan pautan dan sistem yang sama melalui Jabatan Imigresen Malaysia untuk semua permohonan sehingga kelulusan untuk mengambil pekerja asing ke dalam negara.

“Sejak permulaan permohonan yang dibuka secara rasmi pada 15hb Februari 2022, sehingga kini tiada kelulusan rasmi diberikan kepada mana-mana majikan mahupun persatuan yang menyaksikan sistem mengalami masalah yang agak kerap setiap hari setakat ini,” katanya.

Untuk rekod, FWCMS dilaksanakan pada tahun 2013 secara ‘proof of concept’ (pembuktian konsep) bagi membuktikan kepada kerajaan Malaysia bahawa sistem ini boleh membanteras pemerdagangan manusia, penipuan dokumen, menjaga kebajikan pekerja dan menjaga kepentingan majikan. – MalaysiaGazette