Vladimir Putin. foto Reuters

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas timur Ukraine dengan menyatakan ia bertujuan melindungi orang awam.

“Saya telah membuat keputusan operasi ketenteraan,” katanya menerusi televisyen.

Pengumuman itu dibuat sebelum jam 6 pagi.

“Semua tanggungjawab untuk pertumpahan darah terletak pada pemerintah di Ukraine,” tambah Putin.

Presiden Biden pula menyifatkan tindakan Putin terhadap Ukraine adalah “serangan yang tidak diprovokasi dan tidak wajar.”

Ukraine yang beralih kepada perang, mengisytiharkan darurat, mula menggerakkan pasukan simpanan dan menyeru rakyatnya meninggalkan Rusia serta-merta di tengah-tengah amaran tentang pencerobohan besar-besaran yang akan berlaku.

Putin membuat kenyataan itu selepas Amerika Syarikat berkata, Rusia telah menempatkan hampir 150,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine menyebabkan puak pemisah yang disokong Rusia merayu kepadanya untuk mendapatkan bantuan ketenteraan susulan peningkatan pencerobohan Ukraine.

Kyiv telah menafikan sebarang pencerobohan sedemikian.

Reuters pula melaporkan seorang saksi mendengar bunyi letupan di ibu negara.

Letupan juga menggegarkan bandar Donetsk di timur Ukraine

Kenyataan Putin dibuat selepas Kremlin berkata, pemimpin pemberontak di timur Ukraine telah meminta bantuan ketenteraan Moscow ke atas Kyiv.

Sebagai tindak balas, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membuat rayuan larut malam yang penuh emosi kepada Rusia supaya tidak menyokong “perang besar di Eropah”.

Zelensky berkata, beliau cuba menghubungi Putin tetapi tidak dapat bercakap dengannya.

Sebaliknya, pemimpin Ukraine menggesa rakyat Rusia untuk menentang perang kerana akan menyebabkan kematian berpuluh-puluh ribu mangsa.

Beliau berkata, Ukraine juga tidak menimbulkan ancaman kepada Rusia. – Agensi