Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bercakap kepada media selepas perasmian Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

JOHOR BHARU – Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy gembira dengan pencalonan Saraswati Nallathamby sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N04 Kemelah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pencalonan itu satu pengiktirafan dan penghargaan kepada semua usaha dan pengorbanan jentera wanita bagi memenangkan Barisan Nasional (BN) dan parti MIC selama ini.

Mohana tidak menyangka Saraswati yang juga merupakan Ketua Wanita MIC Johor menjadi pilihan BN dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bagi memenangi kerusi tersebut.

Menurut Mohana, sehingga saat-saat akhir masih tidak menyangka kerusi itu akan diberikan calon pimpinan sayap wanita yang diterajuinya namun apabila penyerahan watikah, barulah beliau mampu tersenyum.

“Perasaan saya agak ‘mixed‘ (bercampur) sejak malam tadi lagi. Saya seperti tidak percaya langsung sehinggalah penyerahan watikah, ini satu penghargaan yang begitu berharga buat sayap kami.

“Usaha keras kami sehingga BN menang dua pertiga di PRN Melaka mungkin antara sebab mengapa kami diberikan pengiktirafan ini. Untuk pengetahuan anda, ini bukanlah kali pertama Wanita MIC bertanding di PRN Johor sebaliknya sebelum ini kita memang ada kerusi tradisi.

“Namun apabila kalah sebelum ini, kerusi itu diberikan kepada calon lain. Namun kita mampu berdiri tinggi kembali, kita akan buktikan kepada semua terutamanya parti komponen dan MIC, sayap Wanita sudah bangkit kembali. Kita akan menangkan kerusi ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Mohana, Saraswati adalah antara pilihan terbaik dan beliau bukanlah muka baharu dalam dunia politik apatah lagi di negeri ini.

“Saraswati sudah lama aktif politik malah apa yang lebih dibanggakan, wanita ini juga seorang ahli perniagaan berjaya, aktivis sosial dan banyak lagi jika hendak bercakap tentang dirinya.

“Apa yang penting, tanpa jawatan dan kuasa, Saraswati tetap setia dengan MIC selama bertahun lamanya, keprihatinan dan juga kepimpinan beliau sentiasa terserlah sejak dulu malah beliau juga telah banyak berkhidmat untuk rakyat di negeri ini.

”Kriteria seperti ini telah memberi peluang kepadanya untuk kini bertanding sekali gus membuktikan kepada umum keupayaan dan pemerkasaan wanita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohana tetap positif tentang kemenangan besar BN seperti di Melaka baru-baru ini.

“Jentera Wanita MIC bukan sahaja akan fokus di DUN Kemelah, sebaliknya kami akan bekerja keras untuk semua kerusi ditandingi oleh BN. Fokus kita adalah memastikan kemenangan besar bagi terus menjamin kebajikan dan keutamaan rakyat.

“Rakyat telah melalui pelbagai fasa sukar sejak kekalahan BN pada 2018 yang akhirnya menyebabkan kerajaan runtuh beberapa kali selepas itu kerana retorik untuk berkuasa akhirnya rakyat menjadi mangsa.

“Kini rakyat sudah mula nampak kebenaran dan hakikat selama ini BN ‘dacing’ adalah parti yang sebenar-benarnya untuk rakyat dan demi rakyat,” jelasnya.

Selain Saraswati, MIC akan bertanding di tiga kerusi DUN lain antaranya DUN Tenggaroh yang kembali ditandingi oleh penyandangnya, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Raven Kumar Krishnasamy, DUN Kahang, Datuk Vidhananthan Ramanadhan dan DUN Bukit Batu, Suppayah Solaimuthu. – MalaysiaGazette