Lapangan Terbang Internasional Boryspil, Ukraine. Foto Aerotime

KYIV – Ukraine telah menutup ruang udaranya untuk penerbangan awam selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan tindakan ketenteraan di timur negara tersebut.

Keselamatan pesawat berhadapan risiko tinggi berikutan penggunaan senjata dan alatan ketenteraan di wilayah Donbas.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengeluarkan amaran tentang risiko keselamatan penerbangan di ruang udara sempadan Rusia dan Belarus.

“Ada risiko sasaran yang disengajakan dan salah kenal pasti pesawat awam,” kata pengawal selia agensi tersebut.

“Penggunaan pelbagai sistem peperangan darat dan udara menimbulkan risiko tinggi untuk penerbangan awam yang beroperasi di semua tahap ketinggian,” katanya.

Pesawat yang berada di udara atau dari lapangan terbang United Kingdom (UK) diarahkan untuk mengelakkan daripada menggunakan laluan ruang udara Ukraine oleh Setiausaha Pengangkutan UK, Grant Shapps.

Shapps melalui ciapan pada akaun Twitternya berkata: “Saya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) UK untuk memastikan syarikat penerbangan mengelakkan ruang udara Ukraine bagi memastikan keselamatan penumpang dan krunya.

Ciapan Twitter Setiausaha Pengangkutan UK, Grant Shapps @grantshapps

“Kami akan terus bersama Ukraine dan rakyatnya, dan akan bekerjasama dengan sekutu antarabangsa untuk bertindak balas terhadap tindakan pencerobohan ketenteraan ini,” katanya dalam ciapan yang sama.

Terdapat beberapa video yang dikongsi di Twitter @christogrozev yang memaparkan beberapa lapangan terbang di Ukraine dibom Rusia.

Menurut Pusat Arahan Tentera Ukraine, Rusia mengebom beberapa lapangan terbang di Ukraine termasuk Kyiv Boryspil, Nikolaev, Kramatorsk, Kherson. Kini dilaporkan lapangan terbang tentera Kharkiv terbakar. – MalaysiaGazette

sumber: BBC (https://www.bbc.com/news/business-60505415)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast