KUALA LUMPUR – Seramai 33 pengunjung pusat hiburan dan tiga pemilik premis masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 berikutan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Op Khas Pematuhan SOP Covid-19 yang dijalankan sekitar ibu negara, lewat malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, serbuan secara berasingan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JPJKK Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan mendapati kesemua pusat hiburan itu beroperasi dengan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuat kuasa ketika ini.

“Ketiga-tiga pemilik premis telah dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 setiap satu manakala seramai 33 pengunjung turut dikenakan kompaun dengan nilai sama setiap seorang.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan sebanyak RM 3,000 kepada pemilik premis manakala RM33,000 dikenakan kepada pengunjung pusat hiburan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, sejak 1 Januari sehingga kini, JPJKK Kuala Lumpur telah mengeluarkan sebanyak 406 kompaun dengan nilai keseluruhan RM406,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu negara.

Jelasnya, kompaun yang dikeluarkan berdasarkan Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan ketika ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi.

“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan dalam mengawal penularan Wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast