Sumatera earthquake tremor Melaka Mall PPV booster dose
The people left the Melaka Mall when asked to evacuate after feeling the tremor this morning. Orang ramai keluar dari bangunan Melaka Mall selepas terasa gegaran.

MELAKA – “Saya sangka, rasa loya dan pening itu kesan daripada dos penggalak yang diterima, rupanya akibat gempa bumi sebelum saya segera keluar bangunan bila diminta segera beredar,”

Itu pengalaman diceritakan salah seorang penerima dos penggalak Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Melaka Mall, Ayer Keroh, di sini yang turut berdepan detik cemas apabila merasai gegaran kesan gempa bumi yang melanda Sumatera Barat Indonesia pagi tadi.

Dia yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian terdapat sekitar 10 orang penerima dos penggalak yang sedang menunggu giliran.

“Waktu kejadian, kebetulan saya sedang berehat selepas menerima suntikan, itu yang saya sangkakan rasa loya dan gegaran itu kesan sampingan dos penggalak, tak sangka pula berlaku gempa bumi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman ketika dihubungi berkata, gegaran kuat itu dirasai tiga kali sekitar jam 9.40 pagi.

“Memang kuat gegaran tu berlaku tiga kali, setiap kali tu gegaran dirasai sekitar lima saat sekali gus menyebabkan orang ramai yang berada dalam bangunan panik termasuk penerima dos penggalak Covid-19 yang sedang mendapatkan suntikan dalam bangunan,” katanya.

Tambahnya, ketika kejadian terdapat lebih 300 orang termasuk kakitangan MPHTJ orang awam yang berurusan dalam bangunan terbabit yang turut menempatkan sebuah pasaraya di tingkat bawah.

“Bagaimanapun kita lega kerana pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan bangunan Melaka Mall selamat untuk terus beroperasi. – MalaysiaGazette