Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2021.

KOTA BHARU – Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir dijangka berlaku di jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah bermula hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan itu hari ini, beberapa lokasi di dua jajahan tersebut dikenal pasti dijangka berlakunya banjir secara berperingkat sekiranya hujan lebat berpanjangan di lembangan Sungai Kelantan.

“Lokasi dijangka banjir di Tanah Merah bermula 12 tengah hari ini adalah Kampung Renab, Kampung Kajang, Kampung Padang Kijang dan kawasan sekitarnya.

“Di Kuala Krai pula dijangka berlaku banjir pada pukul 8 malam ini melibatkan Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Mesek, Kampung Tualang, Kampung Karangan, Kampung Manek Urai, Kampung Bedal, Kampung Gatal,Bukit Sireh dan kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, menurut info banjir JPS setakat 11 pagi melaporkan hanya satu sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 25.17 meter (m) manakala dua sungai di jajahan Kuala Krai iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang dan Kampung Sungai Nal berada pada paras amaran dengan masing-masing mencatatkan bacaan 34.63 m dan 24.18 m. – Bernama