Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan bersetuju dengan pembentangan penggubalan perlembagaan anti lompat parti agar pergolakan politik negara dapat diselesaikan.

Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk menyelesaikan masalah isu lompat parti.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, pembentangan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti akan menstabilkan politik negara pada masa depan, sekali gus memastikan keharmonian dan ketenteraman negara.

Jelas beliau, tindakan wakil rakyat yang gemar melompat parti dan lebih fokus dalam meraih kepentingan peribadi serta melakukan sesuatu yang membelakangi rakyat akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini.

“Gerakan sentiasa konsisten dengan pendirian anti lompat parti. Selain itu, keadaan Covid-19 dalam negara kita akan pulih sekiranya keadaan politik kita menjadi stabil.

“Calon yang berjaya mendapatkan mandat daripada rakyat, mereka harus memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan rakyat di kawasan masing-masing.

“Selain itu, wakil rakyat juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka masing-masing sekali gus ikhlas dalam membantu rakyat mengharungi cabaran hidup selepas pandemik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, sehubungan itu Parti Gerakan mengalu-alukan cadangan pembentangan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen dan mengharapkan kecelaruan politik negara dapat diselesaikan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast