endemic transition phase nightclubs N. Revnesh Kumar death Covid-19 vaccine MAEPS PKRC Minister of Health, Khairy Jamaluddin Abu Bakar speaks to the media representatives after a visit to the Sungai Buloh Hospital in Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 25 FEBRUARY 2022.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

PETALING JAYA – Pembukaan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bukan memberi petanda katil-katil di hospital tidak cukup akibat kemasukan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

Sebaliknya Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan, keputusan berkenaan diambil demi memastikan hospital-hospital berupaya menangani kes-kes lain, selain Covid-19.

“Buat masa ini kita terpaksa melaksanakan keputusan-keputusan yang praktikal untuk kita preserved (memelihara) kapasiti hospital.

“Sebab itu, semalam saya umumkan kita buka semula PKRC MAEPS ada yang beranggapan itu adalah “wow,..red flags, alarms bell ringing sebab kita tidak cukup katil untuk hospital”.. Tapi tidak (bukan begitu).

“Kita juga ada kes-kes lain selain Covid-19 yang juga perlu ditumpukan,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Turut hadir ketika majlis perasmian berkenaan adalah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Pengarah Bahagian Kejuruteraan KKM  Tauran Zaidi Ahmad Zaidi dan Pengarah Hospital Sungai Buloh iaitu Dr Kuldip Kaur a/p Prem Singh

Semalam, Khairy ketika sidang media mengumumkan pembukaan semula PKRC MAEPS bermula hari ini, dengan skala yang lebih kecil berikutan peningkatan  kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital.

Jelasnya, ini bagi memberi laluan kepada hospital-hospital lain menumpukan rawatan terhadap kes bukan kes Covid-19 yang telah tertangguh selama dua tahun.

Sebelum ini, Khairy berkata, kes kemasukan ke hospital meningkat sebanyak 42 peratus namun tidak memerlukan rawatan rapi.

Mengulas lebih lanjut mengenai permintaan Hospital Sungai Buloh supaya status hybrid dikembalikan, Menteri Kesihatan itu berkata, keputusan tersebut akan dibuat berdasarkan perkembangan penularan jangkitan Covid-19 dalam tempoh empat minggu.

“Kalau sekiranya kita dapat melihat keadaan ini dapat kekal untuk tempoh empat minggu lagi kemudian kita akan boleh buat pertimbangan terhadap permintaan Hospital Sungai Buloh untuk ditukar kembali kepada status hybrid,” katanya lagi.

Sebagai rekod, status HSB daripada hybrid kepada hospital penuh Covid-19 sejak pandemik bermula. -MalaysiaGazette