Gambar kru serta 14 pemancing bot empayar Mahsuri yang dilaporkan karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Seramai 18 individu termasuk 14 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, di sini, berjaya diselamatkan.

Menurut tekong bot karam yang ingin dikenali sebagai Pak Tam, kesemua mereka diselamatkan tekong sebuah bot pukat tunda pada jam 7 malam tadi.

Mengulas mengenai kejadian, Pak Tam berkata, mereka yang dalam perjalanan memancing itu tiba-tiba dipukul ombak serta ribut kuat, sekali gus menyebabkan bot yang dinaiki terbalik.

Bot empayar Mahsuri yang dinaiki 14 pemancing.

“Masing-masing hanyut jauh daripada lokasi bot terbalik namun syukur kesemua kami yang terdiri daripada empat kru serta 14 pemancing berjaya diselamatkan sebuah bot pukat tunda.

“Alhamdulillah kami selamat dan kini dalam perjalanan ke jeti dengan bantuan pihak Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan 18 individu yang terdiri daripada pemancing dan kru dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, di sini, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (carilamat) sebaik menerima panggilan pada jam 2 petang tadi.

Jelas beliau, KM TENGGOL, Bot PERKASA 1225 dan Bot PENYELAMAT 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC berkaitan kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.