Onn Hafiz Ghazi

SIMPANG RENGGAM – Keputusan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap diputuskan oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Calon DUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua keputusan yang dibuat oleh BN hasil perbincangan serta analisa yang telah dibuat parti.

”Dari soal calon ini, bukan kita boleh pilih-pilih, sebaliknya ia hasil perbincangan dan analisa pucuk pimpinan BN tertinggi untuk menentukan siapa yang hendak diletakkan.

”Jadi, apa pun keputusan, kita akur dengan pucuk pimpinan yang menentukannya,” katanya pada pemberita selepas pengumuman penamaan calon di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam.

Onn Hafiz yakin dengan kematangan pengundi di Machap untuk memilih parti yang boleh menawarkan khidmat terbaik kepada mereka.

Beliau merupakan penyandang kerusi DUN Layang-Layang pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU 14) selepas menang dengan 7,449 undian ketika menentang Murugan A/L Muthu Samy daripada parti Pakatan Harapan yang mendapat 7,085 undi.

Majoriti undi sebanyak 364.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia Dan Sukan itu yakin dengan kedudukan strategik Machap berpotensi menarik pelabur luar sekiranya BN diberi mandat untuk PRN Johor kali ini.

“Saya lihat DUN Machap berpotensi untuk pembangunannya cukup besar kerana cukup strategik dengan wujudnya tiga akses tol.

“Walaupun tol Simpang Renggam masih berbayar, juga tol Machap dan tol Ayer Hitam, kebolehcapaian jaringan lebuh raya ini cukup baik.

”Saya yakin sekiranya pelabur datang ke Machap pembangunannya akan lebih rancak,” ujarnya.- MalaysiaGazette