Antara botol yang dikesan mengandungi sejumlah BPA dalam negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesan sembilan botol polikarbonat mengandungi Bisphenol A (BPA), termasuk dalam botol susu, menerusi satu kajian baru-baru ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penjualan itu melanggar undang-undang susulan Malaysia telah mengumumkan pengharaman botol polikarbonat mengandungi BPA pada Mac 2012.

Jelas beliau, jumlah BPA yang dikesan dalam sampel Malaysia antara daripada 0.3 – 5.8 bpb (bahagian per bilion) manakala sampel botol susu bayi buatan China yang ditemui pula mengandungi 2.6 bpb BPA.

“Botol itu juga mempunyai label ‘bebas BPA’ sekali gus bukan saja melanggar Peraturan Makanan 1985 malah, Akta Perihal Dagangan 1972.

Produk mengandungi BPA dikatakan berisiko kepada sistem hormon bayi.

“Amat mengejutkan banyak produk disalah label sebagai bebas BPA dijual dan ibu bapa yang prihatin tertipu dengan membeli produk berisiko kepada sistem hormon bayi mereka.

“Selain itu, pendedahan BPA dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan kesihatan termasuk kanser, gangguan kesuburan, dan difungsi seksual dalam kalangan lelaki dan wanita serta diabetes,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat dan tegas Peraturan Makanan 1985 dan Akta Perihal Dagangan 1972 bagi mengatasi penjualan botol mengandungi BPA.

Dalam perkembangan sama, Mohideen menggesa pengguna untuk mengurangkan pendedahan kepada BPA dengan menggunakan botol susu bayi yang diperbuat daripada kaca.

“Orang ramai digalakkan elak mengambil makanan dalam tin, guna botol air logam atau kaca, jangan guna pembalut plastik atau bekas plastik untuk memanaskan makanan serta buang botol plastik lama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette