Calon Barisan Nasional (BN) N.07 Bukit Kepong, Ismail Mohamad bercakap kepada media selepas hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Isu perumahan terbengkalai di Bukit Kepong menyebabkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang yang sekarang dikenali sebagai DUN Bukit Kepong untuk kembali bertanding.

Ismail Mohamed yang mewakili Barisan Nasional (BN) pernah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berkata, beliau kecewa melihat projek-projek perumahan yang dibangunkan ketika berkhidmat tergendala begitu sahaja.

“Saya ingin meneruskan usaha-usaha yang pernah saya lakukan di Bukit Kepong. Banyak projek yang saya lihat, pembangunan modal insan, perumahan, program-program bantuan untuk orang miskin yang sepatutnya telah siap dibina nampaknya terbengkalai.

“Jadi saya perlu kembali berkhidmat di DUN Bukit Kepong untuk meneruskan usaha-usaha yang pernah saya lakukan.

“Saya tidak sampai hati untuk melihat usaha-usaha untuk membangunkan orang-orang yang miskin ini juga membangunkan pembangunan modal insan untuk masyrakat Bukit Kepong tergendala,” katanya selepas selesai menyerahkan borang penamaan di Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, sebentar tadi.

Calon Barisan Nasional (BN) N.07 Bukit Kepong, Ismail Mohamad hadir pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

Dalam pada itu, Ismail turut merencanakan untuk membantu masyarakat FELCRA yang dilihat terbantut semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Bila kita pernah merancang dan kita melaksanakan yang tidak tercapai apa yang sepatutnya kita lakukan saya kembali untuk bertanding di DUN Bukit Kepong ini,’ jelas Ismail lagi.

Ditanya mengenai pertembungan beliau dengan Datuk Dr Sahruddin Jamal, Ismail berkata, beliau dan bekas menteri besar Johor itu mempunyai pengalaman masing-masing dan terpulang kepada pengundi DUN Bukit Kepong untuk membuat penilaian.

“Kita menyerahkan kepada masyarakat kerana kami sama-sama ada pengalaman bertanding. Jadi kita serahkan kepada masyarakat untuk memilih yang terbaik,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ismail memangai kerusi Bukit Serampang (DUN Bukit Kepong) pada PRU13 dengan majoriti 7,845 undi. – MalaysiaGazette