(dari kiri) Calon bagi N.07 Bukit Kepong, Pejuang, Md. Taib Md Suhut, Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Sahruddin Jamal, MUDA, Nurafiqah M Zulkifli dan Barisan Nasional (BN) Ismail Mohamad bergambar kenangan sesama mereka pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bakal ditentang tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.

Penyandang kerusi itu bakal ditentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed dari BN-UMNO, calon Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Md Taib Md Suhut.

Pengumuman rasmi senarai calon bertanding itu dibuat oleh Pegawai Pengurus (RO) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bukit Kepong, Rahaman @ Abdul Rahman Selamat.

Proses penamaan berlangsung di Dewan Karisma, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh ditutup tepat jam 10 pagi setelah hanya empat calon mengemukakan borang pencalonan mereka.

Jumlah itu diumumkan apabila tiada kelibat calon bebas hadir bagi mengemukakan calon penamaan mereka.

Calon Pejuang, Taib Md Suhut individu  pertama mengemukakan borang pencalonannya  pada 9.01 pagi, calon PN Datuk Dr Sahruddin Jamal jam 9.10 pagi, selang lima minit kemudian calon BN, Ismail Mohamed pula menyerahkan borang.

Terakhir adalah calon MUDA, Nurafiqah M Zulkifli jam 9.21 pagi.

Proses penamaan hari ini dijalankan dalam suasana Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 apabila hanya calon dan pencadang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon bagi mengemukakan kertas pencalonan.

Kerusi DUN Bukit Kepong sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) melalui Dr Sahruddin yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan Mohd Noor Taib daripada UMNO dan Pas yang mempertaruhkan Iqbal Razak dengan majoriti 1,273 undi. – MalaysiaGazette