KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan selepas membuat pusingan U dalam kejadian di Kilometer 6.2 Lebuh Raya SPRINT dari arah Hartamas menuju ke Plaza Tol Pantai di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah Axia dan Proton Saga.

“Pemandu Axia telah membuat pusingan U di Plaza Tol Pantai, lalu memandu secara melawan arus dan melanggar bahagian hadapan Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun yang menghala ke plaza tol berkenaan di laluan kiri.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Axia yang berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara pemandu Saga di hantar ke Unit Kecemasan Hospital Pantai untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast