Micheal Tay

JOHOR BAHRU – Penglibatan banyak parti dan gabungan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibimbangi akan meninggalkan kesan negatif kepada landskap politik tempatan, khususnya di negeri ini.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, kebimbangan itu berdasarkan perpecahan undi dalam kalangan masyarakat dijangka  berlaku di kebanyakan kawasan.

Menurut beliau, antara kesannya adalah kerajaan negeri yang bakal didirikan kelak berkemungkinan menjadi kerajaan ‘rojak’ ekoran hanya mempunyai majoriti tipis.

“Ini bukanlah satu pilihan raya yang biasa seperti yang terdapat dalam sejarah negara ini, sebaliknya pertembungan pelbagai pihak di kebanyakan kawasan adalah sesuatu yang baharu, dan ianya tidak normal.

“Sehubungan itu, pengundi perlu memainkan peranan dengan bijak untuk memilih wakil rakyat dan parti politik terbaik, khususnya yang sentiasa ada bersama masyarakat dan bukan hanya muncul ketika adanya pilihan raya.

“Mereka perlu pilih wakil rakyat dan parti yang akan sentiasa ada bersama mereka, sama ada dalam tempoh susah ataupun senang,” katanya ketika ketika diminta mengulas mengenai perkara itu , hari ini.

Beliau juga bimbang dengan penglihatan terlalu banyak parti atau gabungan parti politik kerana ia akan mengganggu proses demokrasi,

“Pengundi diminta untuk tidak melihat latar belakang calon seperti kaum apa, sama ada Melayu, Cina atau India tetapi sebaliknya pilih individu dan parti yang bertanggungjawab dan mempunyai rekod baik dalam berkhidmat kepada rakyat,” tambahnya.-MalaysiaGazette