drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 33 pelanggan sebuah pusat hiburan dikompaun kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan yang dilakukan di Jalan Yew, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika serbuan pada 1.10 pagi hari ini, polis turut menahan seorang lelaki sebagai penjaga pusat hiburan yang tidak mempunyai lesen itu kerana gagal mengemukakan lesen operasi perniagaan.

“Dalam serbuan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju telah membuat pemeriksaan dan mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan 17 (1) PPDPP Berjangkit 2021 terhadap pelanggan seramai (33) lelaki dan (15) wanita,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, polis turut merampas satu pembesar suara, satu set pemain CD, sebuah amplifier, satu unit Mixer, sekeping resit dan wang tunai berjumlah RM250.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah atau aktiviti yang mencurigakan di kawasan Wangsa maju supaya menghubungi Hotline di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette