Wong Kian Yong
Wong Kian Yong

JOHOR BAHRU – Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina, Wong Kian Yong, 42, dikompaun kerana gagal memastikan penjarakan fizikal ketika menjalankan tugas di Dewan JKR dekat Larkin pagi tadi.

Menurut wartawan Sin Chew Daily itu, seorang petugas Kementerian Kesihatan telah datang kira-kira jam 9 pagi tadi memaklumkan dia telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dia yang terkejut dikenakan kompaun bagaimanapun tidak dapat berkata apa-apa.

“Saya terperanjat, waktu saya mahu ambil nombor telefon calon, tiba -tiba orang datang cakap saya langgar SOP.

“Tawaran kompaun itu sebanyak RM1,000, tetapi saya sedikit kecewa kerana bukan saya sahaja ramai. Lagipun kita jalankan tugas.

“Saya memang tidak menjagka keadaan yang berlaku seperti ini,”jelasnya ketika ditemui selepas dikenakan tawaran kompaun RM1,000.

Dia yang kecewa dengan apa yang berlaku bagaimanapun tetap meneruskan tugasan yang diberikan walaupun mengakui sedikit terganggu.

Sementara itu, wartawan portal Malaysia Gazette Khairul Anuar Yahaya, 47, pula dikenakan amaran terakhir kerana didapati tidak menjaga jarak ketika menjalankan tugas.

“Saya terkejut kerana tiba-tiba pegawai minta kad pengenalan sedangkan kita sibuk buat kerja sebab bukan ramai berkerumun.

“Tetapi pegawai itu masih tolak ansur dengan saya,” katanya. – MalaysiaGazette