Pesawat Aeroflot Rusia. foto Reuters

RUSIA – Beberapa negara Eropah telah menutup ruang udara mereka untuk penerbangan Rusia, ketika Moscow menghadapi tekanan yang semakin meningkat terhadap pencerobohan Ukraine.

Estonia, Latvia, Slovenia dan Romania telah melarang beberapa penerbangan dari Rusia.

Rusia sebelum ini berkata, ia akan menutup ruang udaranya untuk penerbangan dari Bulgaria, Poland dan Republik Czech selepas mereka mengeluarkan larangan ke atas pesawat Rusia.

Sementara itu, pesawat milik Rusia tidak lagi boleh memasuki ruang udara United Kingdom.

Perdana Menteri Estonia, Kaja Kallas menggesa negara Kesatuan Eropah yang lain untuk mengeluarkan sekatan yang sama di Twitter, sambil menambah: “Tiada tempat untuk pesawat negara penceroboh di langit demokrasi.”

Perdana Menteri Slovenia, Janez Jansa juga berkata: “Slovenia akan melakukan perkara yang sama”.

Manakakla Menteri Pengangkutan Latvia Talis Linkaits menerusi Twitter berkata, Latvia akan menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan komersial berdaftar Rusia sambil menambah, keputusan itu akan diluluskan secara rasmi pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Sekatan ke atas penerbangan Rusia ke kawasan besar di timur Eropah menyebabkan syarikat penerbangan Rusia perlu mengambil laluan litar.

Satu penerbangan Aeroflot dari Moscow ke Budapest pada hari Sabtu mencatatkan masa penerbangan kira-kira 75 minit lebih lama daripada biasa, menurut laman web penjejakan Flightradar24, dengan laluan mengelak dari Poland.

Di Amerika Syarikat, Delta Air Lines berkata ia akan menggantung perjanjian perkongsian kod dengan Aeroflot Rusia.

Syarikat penerbangan komersial juga mengelak ruang udara di sekitar Ukraine, Moldova dan Belarus berikutan pencerobohan Rusia.

Larangan United Kingdom ke atas penerbangan Rusia, termasuk pesawat Aeroflot dan jet peribadi, menyebabkan Moscow bertindak balas dengan sekatan yang sama terhadap pesawat British.

Virgin Atlantic yang mengelak ruang udara Rusia akan menambah antara 15 minit dan sejam untuk penerbangannya antara UK dan India serta Pakistan. – BBC  (https://www.bbc.com/news/world-europe-60539303)

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast