Jabatan, kementerian, badan berkanun persekutuan dan negeri yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam majlis rasmi wajar dikenakan amaran tegas.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan, kementerian, badan berkanun persekutuan dan negeri yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam majlis rasmi wajar dikenakan amaran tegas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, penggunaan Bahasa Melayu dalam negara perlu diperkasa terlebih dahulu sebelum ia diperluaskan ke majlis peringkat antarabangsa.

Sehingga kini masih banyak agensi kerajaan yang menganjurkan majlis rasmi tetapi tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium penyampaian.

“Dalam masa yang sama CUEPACS berharap kerajaan bertegas dalam melaksanakan cadangan ini terutamanya melibatkan urusan rasmi di dalam negara sendiri.

“Penggunaan Bahasa Melayu dalam apa jua urusan rasmi kerajaaan di dalam negara wajar dilakukan terlebih dahulu sekiranya mahu ia dilaksanakan secara meluas di luar negara Jika di dalam negara sendiri pun perkara ini tidak dititkberatkan, bagaimana kita mahu melihat usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu ini di luar negara.

“Keluarkan pekeliling baharu bagi penggunaan Bahasa Melayu ini dan mana-mana jabatan atau kementerian yang tidak patuh wajar dikenakan amaran yang tegas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Adnan menggesa kerajaan mengeluarkan pekeliling arahan penggunaan Bahasa Melayu di setiap peringkat.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam bahawa Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Adnan mewakili CUEPACS menyambut baik pengumuman berkenaan dalam masa yang sama menyifatkan ia akan memartabatkan bahasa kebangsaan di persada antarabangsa.

“CUEPACS tidak melihat perkara ini sebagai suatu masalah kerana seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kecanggihan teknologi ketika ini tidak menghalang untuk bahasa diterjemahkan dalam tempoh yang singkat,” katanya lagi.-MalaysiaGazette