Ahmad Zahid Hamidi

JOHOR BAHRU – Musuh-musuh Barisan Nasional (BN) didakwa sudah kehabisan ‘peluru’ apabila terus melakukan propaganda istilah kluster mahkamah tanpa henti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sedangkan, istilah yang mereka jaja itu adalah naratif untuk memperdayakan undi rakyat sekali lagi, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana, merekalah yang menciptakan tindakan mahkamah terhadap pimpinan BN sejurus mereka berkuasa.

Malah, merekalah yang mengenakan tindakan mahkamah terhadap seteru politik selepas sahaja menang PRU-14 dan sejurus itu juga mereka ke sana ke sini menjaja pemimpin BN sebagai kluster mahkamah.

”Keadaan itu sama seperti perbuatan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual aset negara dan merosakkan ekonomi selepas PRU-14 sehingga mendorong kadar keberhutangan Malaysia hari ini mencecah RM1 trilion.

”Pada masa sama, mereka jajakan rakyat sebagai pemalas serta diingatkan tidak boleh berharapkan bantuan kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Keadaan itu juga sama seperti Kerajaan Perikatan Nasional melaksanakan perintah kawalan pergerakan separuh masak dan menyalahgunakan Ordinan Darurat dan menyebabkan rakyat terpaksa hidup menderita sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih.

Rakyat yang mahu mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula dituduh tidak bijak berfikir tentang masa depan.

Lebih teruk lagi apabila penyokong-penyokongnya menuduh akyat mahu wang KWSP untuk beli Playstation 5 dan hari ini mereka berusaha menidakkan permintaan rakyat unruk melakukan pengeluaran terakhir wang KWSP atas muslihat tertentu.

”Justeru, rakyat khususnya Bangsa Johor seharusnya berhati-hati dengan kelicikan mereka (musuh BN) bermain persepsi. Rakyat seluruh negara tidak pernah leka dan lupa dengan apa yang telah mereka berikan sepanjang tempoh pemerintahan.

”Yakinilah PRN Johor sama seperti PRN Melaka tidak pernah berkait tentang apa-apa kes mahkamah.

”Apa yang pasti PRN Melaka telah memberi kesan kepada PH/PN yang ‘originnya’ berbohong dan menipu untuk menang pilihan raya. Apa yang Barisan Nasional usahakan sama seperti PRN Melaka, PRN Johor berkait usaha mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan,” katanya.

Oleh itu, rakyat Johor tidak boleh tersasar daripada misi murni kita ini demi masa depan Johor kembali gemilang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sindiran tajam dan MESEJ tersirat/// TMJ jika JDT KALAH akan letak jawatan selamanya….bermaksud jika ada pemimpin2 masih terlibat RASUAH dan SALAHGUNA KUASA sila letak jawatan begitu juga rakyat kena celik mata dan hati boleh BEZAKAN mana KACA dan PERMATA

Comments are closed.