Khairy Jamaludin ketika lawatan di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Johor hari ini.

SIMPANG RENGGAM – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah meminta pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membatalkan kompaun yang dikenakan terhadap seorang wartawan semalam.

Wartawan tersebut, Wan Kian Yong dikompaun di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin ketika bertugas sempena Pilihan Raya Negeri (PRNJ) Johor.

Kata Khairy, tidak perlu kenakan kompaun kepada para pengamal media yang sedang menjalankan tugasan mereka.

Sebaliknya seandainya jika wakil media gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sedang bertugas boleh guna budi bicara termasuk memberi amaran terlebih dulu.

“Wartawan yang buat kerja tidak perlu dikompaun. Saya telah minta pegawai saya batalkan kompaun tersebut,” katanya selepas lawatan di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini hari ini.

Kian Yong semalam menerima kompaun sebanyak RM1,000 selepas dikatakan gagal mematuhi SOP walaupun mendakwa dirinya hanya melakukan kerjanya sebagaiwartawan.

Selain Kian Yong, wartawan MalaysiaGazette, Khairulanuar Yahaya juga dikenakan amaran terakhir secara lisan oleh wakil  KKM tersebut atas dakwaan sama.

Khairulannuar berkata, beliau diberi amaran kerana didakwa melanggar SOP ketika mendapatkan maklumat calon. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wartawan buat liputan di Larkin dikompaun RM1,000