TNB Empangan Kenyir

KUALA TERENGGANU – Paras air di Empangan Hidro di Stesen Janakuasa Kenyir Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih berada pada paras terkawal dan di bawah paras limpah setakat ini.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan pemantauan secara berterusan sedang dijalankan dan maklumat yang berkaitan sentiasa disalurkan kepada pihak berkuasa secara berkala.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi TNB di Facebook TNB Careline atau Twitter Tenaga_Nasional sahaja,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, tular di media sosial mengenai bunyi siren di Empangan Kenyir yang kononnya meminta penduduk Terengganu terutama Daerah Hulu Terengganu berhati-hati dengan kemungkinan banjir yang lebih besar akan melanda disebabkan air daripada empangan akan dilepaskan.

Sementara itu, beberapa pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir yang dihubungi Bernama berharap orang ramai tidak menyebarkan berita palsu berhubung pelepasan air daripada empangan berkenaan.

Sulong Mustafa, 51, berkata berdasarkan pemerhatiannya, paras air pada tahun ini adalah lebih rendah berbanding tahun lepas dan air masih belum melimpah ke tempat meletak kenderaan di Pengkalan Gawi seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Jangan sebar perkara yang belum tentu kesahihannya kerana hanya menimbulkan panik di kalangan orang ramai, saya sendiri dihujani pelbagai pertanyaan mengenai perkara itu sejak pagi tadi. Apa yang boleh saya katakan keadaan di sini masih terkawal dan tidak seperti yang digembar-gemburkan,” katanya yang terlibat dalam perniagaan rumah bot sejak sembilan tahun lepas.

Seorang lagi pengusaha rumah bot, Zalani Endut, 47, berkata kali terakhir paras air di Tasik Kenyir naik dengan agak tinggi ialah pada 2014.

“Setiap kali berlaku banjir, pasti ada video dan berita palsu yang tersebar mengenai air empangan akan dilepaskan sedangkan ia tidak benar, kami yang berada di sini menafikan perkara tersebut.

Lebih baik doakan sahaja banjir pulih secepat mungkin agar industri pelancongan di Tasik Kenyir ini dapat beroperasi semula,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast