Tan Sri Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak akan membuka mulut mengenai isu yang akan memburukkan parti itu khususnya ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, PH juga akan mengunci mulut termasuklah bersabit dakwaan yang dibuat oleh Edisi Khasr baru-baru ini yang mengatakan kononnya bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerima rasuah semasa mengendalikan kes jenayah melibatkan anak lelaki ahli perniagaan terkenal.

Ujarnya, sudah pasti isu yang dibangkitkan itu akan mengundang tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Namun Kamarul Zaman berpendirian, demi memberi keyakinan kepada rakyat, pemimpin PH perlu tampil menjelaskan dakwaan berkenaan.

“Sudah pastilah persoalan dan keraguan akan timbul bila rakyat marhaen dikenakan hukuman berat termasuk hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati kerana menanam, memiliki atau mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi bila anak jutawan didapati melakukan kesalahan sama pertuduhan terhadap beliau dikurangkan.

“Masalah dengan pemimpin pembangkang khususnya PH ialah apabila apa-apa dakwaan salah laku itu membabitkan kalangan pemimpin mereka atau pegawai lantikan mereka sendiri maka mereka akan mendiamkan diri.

“Sedangkan bila ia membabitkan kalangan pemimpin lawan mereka atau pegawai lantikan lawan mereka maka mereka akan berdegar-degar bersuara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu Kamarul Zaman berkata, Peguam Negara berkuasa untuk mahkamah memulakan, menjalankan atau menghentikan suatu prosiding.

Jelas beliau, kuasa berkenaan tertakluk di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, tindakan berkenaan perlu dilaksanakan secara adil berlandaskan keperluan undang-undang supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

“Memanglah di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara mutlak yang tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

“Begitupun, kuasa budi bicara yang dipunyai oleh Peguam Negara ini sepatutnya dilaksanakan dengan bijaksana sehingga ia tidak menimbulkan persoalan dan keraguan kepada rakyat jelata, termasuklah bila Peguam Negara mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan yang telah dikenakan kepada mana-mana individu yang seharusnya diasaskan kepada keadilan sejagat,” tambahnya.

Untuk rekod, Edisi Khas menerusi ciapan Twitter baru-baru ini mendakwa salah seorang anak lelaki Vincent Tan ditahan atas kesalahan dadah pada 2019 tetapi telah ditutup oleh Tommy. – MalaysiaGazette