Tangkap layar dari video yang tular di laman Tik Tok.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang pemilik akaun Tik Tok yang memuat naik sebuah video berunsur fitnah terhadap Ketua Polis Balai Seksyen 9, Shah Alam.

Video berdurasi 35 saat itu memaparkan sekumpulan anggota polis  berada di dalam sebuah rumah dan tertera tulisan berwarna merah putih mendakwa polis rasuah.

‘Polis corrupt.. Sekarang masuk line property lak.. hati-hati guys kalau nak sewa rumah.. check abis-abis sapa. Sekarang ini family pun takleh caya. Kalau pengadu salah, gari je lah.. ) & ( Sri Alam Kondo Shah Alam. Lewat bayar rent sebulan. Hebatkan owner send polis beruniform.

“Senang-senang owner naikkan rental, pastu agreement taknak tunjuk kot-kot tukar owner ke, aku sempat selamat tv Samsung je lain mak pengadu rembat semua..now tidur dalam kereta’

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, video itu telah dimuat naik oleh pemilik akaun bernama @marissakamal sehingga menjadi tular di laman Tik Tok.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati pemilik asal rumah berkenaan yang juga merupakan pengadu telah membuat laporan polis kerana suspek didapati enggan keluar dari kediaman itu.

“Pengadu benarkan suspek menghuni secara ihsan, sedangkan notis telah diberikan selama dua bulan untuk suspek berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengesan pemilik akaun Tik Tok yang telah berpindah keluar dari rumah berkenaan.

Katanya, kes Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hazimah di talian 03-55202222,” ujarnya. – MalaysiaGazette