Tengku Amir Shah (kanan) menyampaikan sumbanga kepada mangsa banjir bertempat di Kampung Kebun Bunga Shah Alam, Selangor.

KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membantu mengurangkan beban mangsa banjir di Kampung Kebun Bunga, Shah Alam yang terkesan dengan banjir di Selangor penghujung tahun lalu.

Tengku Amir Shah mencemar duli turun padang melawat seramai 50 keluarga dan menyampaikan sumbangan termasuk makanan basah dan kering, pek penjagaan kesihatan, barang keperluan elektrik, alatan pembersihan, dan sebagainya yang diperlukan oleh mangsa banjir untuk bangkit semula daripada musibah yang melanda.

Dikenali Program Kita Bantu, ia anjuran Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) yang merupakan sebuah inisiatif untuk membantu individu serta keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda.

“Bantuan barangan elektrik seperti pengisar, cerek jag elektrik, dapur das, dan periuk nasi merupakan antara barangan yang diterima oleh penduduk di kawasan lain seperti Sungai Lui dan Batu 13, Puchong yang terjejas pasca banjir.

“Sejak bermulanya banjir, pihak SAY bersama YRMS telah bertungkus lumus untuk membantu mereka yang terkesan di beberapa daerah sekitar Selangor.

“Antaranya di Kuala Langat (melalui Majlis Belia Malaysia), Hulu Langat (melalui Yayasan Sukarelawan Siswa), Petaling serta Klang,” kata SAY dalam satu kenyataan hari ini.

Dikenali Program Kita Bantu, ia anjuran Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).

Pada majlis itu, sumbangan diberikan oleh  Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Perniagaan Hap Seng Consolidated Berhad, Gary Pang yang mewakili Lau Gek Poh Foundation kepada Tengku Amir Shah.

Sejak ditubuhkan pada April 2020, program Kita Bantu telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang terkesan antaranya keluarga B40, pelajar, peniaga kecil, petugas barisan hadapan dan yang terbaru, golongan yang terjejas oleh banjir besar pada Disember 2021.

Setakat Januari lalu, sebanyak 50,405 penerima telah mendapat manfaat daripada sumbangan orang ramai dan pihak korporat seperti Sunway Group yang telah dikumpulkan melalui inisiatif Kita Bantu. – MalaysiaGazette