Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama calon N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani (kiri) meluangkan masa sarapan pagi bersama penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Cempaka, Kempas, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangkang sudah tidak mempunyai modal apabila acapkali mengaitkan isu kluster mahkamah untuk menjatuhkan dirinya dan Barisan Nasional (BN).

Bekas perdana menteri berkata, permainan kotor pembangkang itu sudah tidak laku lagi di mata dan hati rakyat kerana rakyat semakin bijak menilai perkara yang sebenar.

Menurut beliau, taktik kotor pembangkang langsung tidak meninggalkan kesan kudis kepada dirinya.

Malah, Najib menganggap isu lapuk yang dimainkan pembangkang telah memberi kelebihan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga BN.

“Dia tiada modal lain.Saya sebenarnya seronok kalau saya dan Datuk Zahid dijadikan sasaran, bagus.

“Sebab bagi pengundi mereka hendak nilai siapa yang boleh memberi kesejahteraan kepada mereka, siapa yang boleh membela mereka, jadi itulah soal dan agenda utama dalam PRN negeri ini, bukan saya atau Datuk Zahid,” katanya ketika ditemui selepas bersarapan pagi di Warong Roti Canai Fendi di Taman Cempaka Kempas hari ini.

Oleh itu, katanya, rakyat harus memilih kerajaan yang dapat memberi perkhidmatan terbaik buat mereka.

Najib turut meminta rakyat agar tidak lagi tertipu dengan janji-janji pembangkang.

Ketika diminta mengulas mengenai pertembungan hangat tujuh penjuru di DUN Kempas, Najib meramalkan lebih banyak parti bertanding, peluang BN untuk memenangi kerusi DUN Kempas amat tebal.

Namun, beliau menasihatkan BN agar tidak boleh selesa dan terlalu yakin dengan perkara itu, sebaliknya harus bekerja keras demi mencapai matlamat menambat hati rakyat Johor.

“Kita tidak boleh merasakan terlalu optimis, kita mesti kerja keras dan yakin kita menawarkan agenda baik untuk rakyat. Kita mesti bertawaduk bahawa kita minta mandat kepada rakyat supaya rakyat membuat penilaian bijak kepada kita,” katanya.

Buat kali pertama, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menyaksikan persaingan tujuh penjuru termasuk penyertaan tiga calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – MalaysiaGazette