Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya saf solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri itu dirapatkan seperti biasa mulai 1 April ini.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jemaah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan dos penggalak dibenarkan hadir menunai solat Jumaat hanya terpakai di masjid dan surau di Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, SOP solat berjemaah di masjid dan surau di lain-lain negeri masih seperti biasa dan tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Sukacita ingin dimaklumkan bahawa syarat berkenaan ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor dan hanya terpakai kepada masjid dan surau di negeri berkenaan sahaja.

“Jakim menghormati ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor dan menasihati umat Islam mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan usaha menjaga dan memelihara maslahah dalam mengawal penularan wabak Covid-19 mencapai matlamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selasa lepas, Jabatan Agama Islam Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 21 Februari lepas menetapkan syarat menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak bagi membolehkan jemaah hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan Solat Jumaat bermula 25 Februari lalu.- MalaysiaGazette