Logi Parti PEJUANG Tanah Air di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2021.

MERSING – Calon parti Pejuang, Mohd Noorhisyam Ibrahim, 37 yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau rela meletakkan dirinya sebagai calon “underdog” yang tidak mustahil membuat kejutan pada Pilihan Raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

“Saya akui Pejuang adalah parti baharu dan masih dalam proses pengenalan serta mengumpul ahli namun di sebalik yang baharu ini tunjangnya adalah bekas kepimpinan negara diiktiraf dunia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bukan alasan untuk mendabik dada kerana dipimpin oleh Tun tetapi saya yakin, walaupun parti baharu, pengundi yang menyokong aspirasi Tun yang dibawa oleh kami yang menjadi calon masih ramai.

“Semua calon hendak menang dan pasti akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hati rakyat tetapi sekurang-kurangnya, PRN Johor ini menjadi medan untuk Pejuang memperkenalkan diri kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di markas Pejuang di Pengkalan Batu di sini pagi tadi.

Bercakap tentang misi, Mohd Norhisyam memberitahu, adalah menjadi niatnya sejak sekian lama untuk membantu golongan muda dalam dunia perniagaan terutama yang tidak bekerja tetap.

“Banyak peluang untuk menambah pendapatan tetapi disebabkan birokrasi terlampau, maka ramai yang gagal meneruskan impian.

“Saya akan pastikan nasib golongan peniaga terbela dan tidak diabaikan begitu sahaja sekiranya saya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat.

“Begitu juga dengan permohonan tanah seperti di Felda untuk generasi ketiga yang masih tergantung walaupun telah prosesnya telah berjalan lebih 10 tahun.

“Saya tak mahu berjanji bulan dan bintang tetapi semua masalah rakyat akan saya pikul sebaiknya sehinggalah menemui jalan penyelesaian.

Hasrat Mohd Noorhisyam turut disokong oleh calon Pejuang bagi kerusi Dun Tenggaroh, Mohd Firdaus Abdul Rahman yang mahu melihat perubahan fizikal berlaku di Mersing.

Biarpun Tenggaroh dikatakan kubu kuat UMNO, namun anak muda berusia 37 tahun ini tidak gentar untuk menyahut cabaran yang diamanahkan.

“Sama seperti Noorhisyam, saya akan pastikan nasib anak muda terbela terutama yang minat dalam bidang perniagaan.

“‘Jika rakyat beri kepercayaan,  saya akan lakukan yang terbaik agar generasi muda dapat membina kehidupan yang lebih selesa untuk memantapkan ekonomi keluarga.

“Banyak lagi yang akan dilakukan untuk rakyat termasuklah membina rangkaian kerja berpasukan di mana mereka yang telah berjaya akan membimbing golongan baharu untuk sama-sama menikmati kejayaan,” ujarnya.

Tambahnya, mungkin ramai beranggapan wakil rakyat hanya pandai menabur janji sebelum dapat tetapi bagi Mohd Noorhisyam dan Mohd Firdaus, rakyat harus pandai membuat pilihan sebelum memilih calon.

“Keputusan di tangan pengundi dan buatlah pilihan yang tepat kerana pilihan yang salah hanya akan merugikan pengundi,” katanya. -Malaysiagazette