Luqman Daniyal memerlukan bantuan RM65,000 untuk menjalani pembedahan jantung.

GEORGE TOWN – Seorang bayi lelaki berusia 11 bulan memerlukan bantuan kewangan berjumlah RM65,000 bagi menjalani pembedahan jantung.

Luqman Daniyal Safriansah kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan perlu menjalani pembedahan segera.

Menurut Safriansah Laud, 33, anak bongsunya itu disahkan menghidap penyakit jantung sebaik dilahirkan selepas doktor mendapati terdapat bunyi ganji pada jantung anaknya itu.

Jelas beliau, ketika itu keadaan Luqman Daniyal tidak kritikal namun dua bulan kemudian doktor mengesahkan dia mempunyai masalah VSD iaitu kebocoran bilik jantung.

Safriansah bersama anak bongsunya, Luqman Daniyal.

“Disebabkan berat badan Luqman Daniyal terlalu ringan, pembedahan tidak boleh dijalankan dan dia perlu makan ubat untuk mengawal kebocoran bilik jantung sementara menunggu berat badanya (naik) bagi menjalani pembedahan.

“Kehidupan kami kini bagaikan malapetaka apabila Luqman Daniyal disahkan menghidapi masalah jantung serius dan terpaksa menjalani pembedahan di hospital pakar susulan kami tidak mempunyai ahli keluarga di Pulau Pinang untuk membantu menampung kos pembedahannya,” katanya yang berasal dari Sabah.

Tambah Safriansah, pendapatannya RM5,000 sebulan sebagai seorang jurutera tidak mampu menampung kos pembedahan tersebut.

“Isteri saya suri rumah sepenuh masa selain mempunyai tanggungan seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun.

“Susulan itu kami meminta bantuan daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) bagi mengumpul dana kos perubatan Luqman Daniyal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, mengikut laporan perubatan yang dibekal hospital mendapati lubang bilik jantung telah berkembang dan pembedahan perlu dijalankankan serta-merta agar kesihatan Luqman Daniyal tidak terancam.

Pihak keluarga memberi kebenaran kepada One Hope Charity untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam berjumlah RM65,000.

“Ini merupakan saat kritikal buat bayi berkenaan dan pembedahan harus dilakukan segera agar dia boleh meneruskan kehidupannya seperti anak kecil lain.

“Pihak keluarga memberi kebenaran kepada kami untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam berjumlah RM65,000 sekali gus menguruskan rawatan bayi mereka,” kata beliau.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette