Keadaan hakisan pantai akibat dibadai ombak di Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Pasir Panjang, di sini.

Selain itu, CAP turut menggesa mereka menjalankan siasatan berhubung insiden hakisan tebing yang semakin serius dan membimbangkan di pantai berkenaan akibat dibadai ombak sejak setahun lalu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan CAP mendapati hakisan tebing berkenaan sudah terbentuk sepanjang 300 meter.

Pokok rhu turut tumbang akibat hakisan pantai tersebut.

“Beberapa pokok kelapa dan rhu sudah musnah manakala lebih 20 lagi menunggu masa untuk tumbang.

“Selain itu, Kem Wawasan Negara di kawasan pantai itu juga terdedah kepada bahaya kerana kesan hakisan berlaku sangat hampir dan menjejaskan beberapa struktur di situ.

“Tangga bagi laluan pengunjung ke pantai ini juga sudah rosak dan terdapat banyak sisa batu berselerak di sepanjang pantai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Struktur tangga di pantai berkenaan turut rosak akibat insiden sama.

Tambah Mohideen, pihaknya kesal kerana sehingga kini masih tiada tindakan diambil oleh pihak berkaitan bagi menanganinya walaupun ia sudah lama berlaku.

“Sekiranya dibiarkan, CAP percaya alam sekitar di kawasan itu akan terancam dengan lebih teruk selain berlaku kejadian tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam.

“Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi punca masalah ini.

“Kita juga mengesa pihak terbabit mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil kepada umum dengan secepat mungkin,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette