Teacher identified for taking part in illegal racing at Penang Bridge II
Teacher identified for taking part in illegal racing at Penang Bridge II. Tangkap layar menunjukkan aksi beberapa buah motosikal kuasa tinggi melakukan aksi berbahaya di atas Jambatan Kedua Pulau Pinang.

BALIK PULAU –  Seorang guru antara yang dikenal pasti terbabit dalam kumpulan penunggang motosikal kuasa tinggi yang terbabit dengan aksi berbahaya di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini.

MalaysiaGazette difahamkan aksi itu dilakukan pada Disember lalu dan sebahagian video berkenaan ditularkan pada 13 Disember sebelum sebahagian lagi ditularkan semalam.

Setakat ini, pihak polis sudah mengesan dua individu yang terlibat dan difahamkan tangkapan akan dilakukan bagi membantu siasatan.

Semalam tular satu rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan penunggang motosikal kuasa tinggi menunggang motosikal secara berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan motosikal di atas Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Aksi berbahaya yang dilakukan lelaki berkenaan dirakam seorang penunggang yang dipercayai saling mengenali satu sama lain.

Selain itu, rakaman tersebut turut memaparkan panel meter motosikal individu yang membuat rakaman itu menunggang dengan kelajuan lebih 280 kilometer sejam (km/j).

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung tindakan beberapa penunggang motosikal tersebut.

Kamarul Rizal

“Kita sudah mengenal pasti nombor pendaftaran yang merakam aksi berbahaya itu dan usaha mengesan penunggang motosikal terbabit  dilakukan bagi melengkapkan siasatan.

“Pihak polis memandang serius kejadian berkenaan dan menasihati pengguna supaya mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Barat Daya di talian 013 206 4682. – MalaysiaGazette