Pemandangan di Kuala Lumpur

JEPUN adalah antara negara yang sangat maju terutamanya dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan. Namun khazanah kebudayaan mereka masih utuh dan terpelihara. Terdapat banyak tempat-tempat di Jepun yang disenaraikan sebagai “UNESCO World Heritage Site”. Keadaan ini menjadikan Jepun antara negara yang sering dilawati dan dijadikan negara yang ingin didiami, terutamanya bagi penduduk dari negara-negara Asia Tenggara. Tidak terkecuali kita yang berada di Malaysia. Sering kali kita mengimpikan untuk merasai sendiri keindahan dan keunikan yang dimiliki oleh negara Jepun.

Dalam keghairahan kita melihat kelebihan negara orang, tahukah kita bahawa Malaysia pula menjadi “Negara Nombor 1” yang ingin didiami oleh orang Jepun. Menurut laman web NetForeland Realtwork https://my.foreland-realty.com/?page_id=232, melalui survey yang dijalankan dalam kalangan orang Jepun, sudah 14 tahun berturut-turut (2006 – 2019) Malaysia menjadi pilihan pertama orang Jepun untuk didiami dan untuk orang Jepun tinggal bagi tempoh masa yang panjang. Terdapat pelbagai faktor yang menjadikan orang Jepun memilih Malaysia sebagai tempat yang mereka ingin diami. Dengan melihat kepada faktor-faktor ini, kita akan berfikir sejenak dan dapat merasakan betapa bertuahnya kita sebagai rakyat Malaysia.

Program Malaysia My Second Home (MM2H)

Terdapat pelbagai faktor yang menjadikan orang Jepun memilih Malaysia sebagai tempat yang mereka ingin diami. Program Malaysia My Second Home (MM2H) yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa Pelancongan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia membolehkan orang Jepun tinggal di Malaysia sehingga tempoh 10 tahun. Warga asing yang mahu tinggal di Malaysia dan memenuhi kriteria yang ditetapkan boleh memohon di bawah program ini. Pemohon yang berjaya akan dibenarkan tinggal di Malaysia serta membawa pasangan, anak yang belum berkahwin di bawah umur 21 tahun dan ibu bapa yang berumur lebih dari 60 tahun. Melalui program ini, ramai orang Jepun memohon untuk tinggal di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

Negara Yang Selamat Untuk Didiami

Kedudukan negara Jepun yang berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik di pertemuan tiga plat tektonik, menjadikan Jepun sebagai sebuah negara yang sering mengalami bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan letusan gunung berapi. 70% sehingga 80% keadaan muka bumi Jepun yang bergunung-ganang menjadikan Jepun sebagai sebuah negara yang sering mengalami kejadian tanah runtuh apabila berlakunya hujan lebat.

Kejadian tsunami yang dahsyat pada 2011 memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan orang Jepun. Kejadian ini turut menyebabkan tsunami sehingga berlakunya bencana kemalangan nuklear di Fukushima. Bencana yang sangat hebat ini telah mengakibatkan Fukushima hari ini telah menjadi sebuah bandar mati. Berbanding dengan Jepun, Malaysia adalah sebuah negara yang selamat dan tidak mengalami kesan bencana alam yang teruk. Dengan itu, Malaysia dijadikan destinasi pilihan untuk didiami oleh mereka. Kesan tsunami 2011 menyaksikan peningkatan orang Jepun yang keluar dari negara mereka kerana kerisauan mereka terhadap kesan radiasi dan kesan bencana alam lainnya.

Kos Sara Hidup Yang Lebih Rendah

Mata wang Malaysia (MYR) jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan mata wang Jepun (Yen). Bagi orang Jepun yang memilih untuk menetap di Malaysia dan mempunyai pendapatan atau simpanan dalam Yen, kemampuan berbelanja mereka akan meningkat. Apabila mereka berada di Malaysia, kuasa membeli mereka akan menjadi tiga atau empat kali ganda. Mereka dapat membeli pelbagai barang keperluan dengan harga yang jauh lebih rendah dari di Jepun. Dengan ini, taraf hidup mereka akan menjadi lebih tinggi. Nilai hartanah di Malaysia juga jauh lebih rendah berbanding dengan nilai hartanah di Jepun. Dengan syarat yang tidak terlalu sukar untuk memiliki hartanah di Malaysia di bawah program MMH2, ramai orang Jepun yang memiliki rumah atau kediaman yang lebih baik berbanding dengan rumah atau kediaman mereka di Jepun.

Keadaan Iklim di Malaysia

Semua daripada kita sedia maklum bahawa Jepun adalah negara yang mempunyai empat musim, sedangkan iklim di Malaysia adalah hujan dan panas sepanjang tahun. Apabila orang Jepun berada di Malaysia, mereka tidak perlu memperuntukkan kos yang besar untuk pembelian pakaian. Sekiranya mereka berada di Jepun, mereka perlu menyediakan kos yang agak tinggi untuk pembelian pakaian kerana pakaian setiap musim agak berbeza, terutamanya apabila menjelangnya musim sejuk. Sedangkan, apabila mereka berada di Malaysia, rekabentuk pakaian yang sama boleh digunakan sepanjang tahun.

Kemudahan Fasiliti yang Baik

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian fasiliti dan kemudahan yang setanding dengan negara maju, terutamanya di bandar-bandar besar. Kebanyakan orang Jepun di Malaysia, tertumpu di pusat-pusat bandar yang mempunyai kepelbagaian fasiliti yang mereka perlukan. Tempat tinggal yang selesa dan selamat, pengangkutan awam yang efisyen, suasana yang bersih, serta negara yang aman dan harmoni, menyebabkan orang Jepun tidak mengalami banyak masalah untuk tinggal di Malaysia. Malahan, di Malaysia terdapat banyak pasar raya yang menjual keperluan orang Jepun seperti peralatan, makanan dan bahan masakan yang berasal dari Jepun. Oleh yang demikian, mereka tidak berasa terasing berada di Malaysia. Dari segi komunikasi juga tidak begitu sukar kerana majoriti rakyat Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Sistem Perubatan Yang Baik Dengan Kos Yang Rendah

Kos perubatan di Jepun adalah sangat tinggi. Penduduk-penduduk di Jepun adalah diwajibkan untuk mengambil insurans di bawah program National Health Insurance agar dapat menampung kos perubatan mereka. Pihak insurans hanya akan menanggung sebanyak 70% sahaja daripada kos rawatan, manakala selebihnya perlu ditanggung sendiri oleh individu itu sendiri. Jika mereka berada di Malaysia, kos perubatan jauh lebih rendah, walaupun mereka mendapatkan perkhidmatan di klinik-klinik atau hospital-hospital swasta.

Klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan turut menerima mana-mana pesakit warga negara asing, dengan kadar bayaran yang lebih rendah. Di Jepun, terdapat suatu sistem perubatan yang dikenali sebagai “tarai mawashi”. “Tarai mawashi’ adalah keadaan yang mana pesakit mengalami kes-kes kecemasan tidak diterima oleh pihak hospital disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Situasi dan keadaan menjadi lebih teruk kini dengan berlakunya penyebaran wabak Covid-19. Keadaan seperti ini tidak berlaku sama sekali di Malaysia, terutamanya di hospital-hospital kerajaan. Hospital-hospital di Malaysia bersedia menerima apa sahaja kategori pesakit dan bersedia memberikan rawatan yang diperlukan.

Melalui faktor-faktor yang telah dibincangkan, seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berasa bersyukur dan bertuah kerana banyak kelebihan yang negara kita miliki sebenarnya. Hakikatnya, ramai orang luar negara yang sukakan Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana mampu hidup dengan harmoni walaupun masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum. Sikap keterbukaan kita yang tinggi dalam menerima masyarakat luar, menjadikan mereka rasa tidak terasing walaupun tidak berada di tanah air sendiri. Banyak lagi kelebihan-kelebihan yang negara kita miliki sebenarnya. Jadi, hargailah negara Malaysia yang kita cintai ini. “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Oleh: Siti Hajar Bidin & Hiyama Junko @ Noor Siti Abdullah
Pusat Pengajian Bahasa,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)