Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) berbual dengan salah seorang pelanggan restoran semasa melakukan lawatan beberapa lokasi kempen yang dijalankan calon-calon parti politik sekitar Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jangan ada sebarang tindakan sabotaj!

Itu amaran Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada semua penyokong parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana, katanya, terdapat beberapa kejadian termasuk melibatkan beberapa bendera parti politik dibakar dan dibuang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius tindakan tersebut dan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu termasuk memanggil wakil parti-parti politik.

“Memasuki hari ketiga berkempen, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku kecuali kejadian beberapa bendera parti dibakar, yang diketahui pagi tadi.

“Saya beri jaminan kita akan menyiasat perkara itu selain turut meningkat rondaan dan menambah lagi pasukan pemantau untuk memastikan tiada tindak balas berlaku atau kejadian sama berulang, biar polis selesaikan perkara ini.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan semua pihak, parti politik dan penyokong mereka untuk bertenang dan berkempen secara sihat dan positif dan jangan ambil tindakan yang boleh menyebabkan berlakunya kekacauan sepanjang tempoh PRN Johor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan beberapa lokasi kempen yang dijalankan calon-calon parti politik bertanding di sekitar bandar raya ini hari ini.

Pagi tadi, beberapa helai bendera sebuah parti dilaporkan telah dibakar di DUN Layang-Layang manakala beberapa papan poster melibatkan parti politik PKR juga didakwa telah dirosakkan melibatkan kawasan di DUN Tenggaroh.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut mengingatkan semua pihak untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Semua pihak juga diminta untuk terus patuh kepada SOP yang ditetapkan, sekiranya peraturan kata kempen tamat pukul 10 malam, tamatkan sahaja, tidak perlu untuk memohon masa dilanjutkan.

“Pematuhan kepada SOP ini bukanlah satu perkara yang terlalu sukar untuk dilaksanakan, kalau masih berdegil kita akan ambil tindakan, mudah sahaja,” tegasnya.-MalaysiaGazette