UMNO candidates Johor state election Caretaker Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 28 FEBRUARY 2022.
Caretaker Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 28 FEBRUARY 2022. Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Pelancaran Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Hotel Impiana, Senai. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Pertukaran akhir calon UMNO di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak memberi kesan besar kepada parti itu, kata Datuk Hasni Mohammad.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata, ini kerana keputusan yang dibuat berdasarkan semangat tinggi dalam kalangan parti komponen dalam BN.

Malah beliau berkata, tindakan yang sama juga diambil MCA dan MIC yang turut menukar calonnya di saat-saat akhir.

“Pertukaran akhir itu atas semangat BN, kita melihat MCA dan MIC turut mengubah calon mereka pada saat akhir.

“Tentunya UMNO memerlukan penyesuaian apabila kita telah memuktamadkan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen.

“Namun tidak bermaksud perubahan yang dibuat, calon yang diumumkan awal tidak sesuai tapi kita guna kaedah berdasarkan representasi golongan wanita tinggi dan anak muda.

“Malah keputusan memilih calon juga melihatkan kepada kriteria keseluruhan seperti kelulusan akademik yang menjadi komponen penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya kesan UMNO menukar dua kerusi di DUN Sungai Balang dan Tanjung Surat tidak sampai 24 jam senarai calon parti itu diumumkan pada Khamis lalu.

DUN itu masing-masing terletak dalam kawasan Parlimen Muar dan Pengerang.

Ditanya sama ada terdapat penolakan akar umbi ke atas calon dalam kalangan pemimpin veteran, Hasni berkata, isu itu tidak timbul kerana jentera BN belum beroperasi 100 peratus lagi.

Jelas beliau, berdasarkan pengalaman BN, ia menuntut jentera parti bekerja keras secara berperingkat sepanjang tempoh berkempen pada sesuatu pilihan raya.

Namun tambahnya, kajian tetap dibuat di lapangan untuk mendapat maklum balas akar umbi parti dan pengundi.

Sementara itu, antara kejutan yang dibuat UMNO apabila kemunculan pertama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi bertanding di DUN Johor pada PRN negeri itu pada 12 Mac ini.

Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berdepan saingan empat penjuru
apabila ditentang calon daripada PKR, Khairuddin A Rahim yang memenangi kerusi DUN Senggarang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dua lagi calon bertanding di DUN Rengit ialah Mohd Huzair Lajis yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – MalaysiaGazette