Dua anggota polis memeriksa bukti kes pergaduhan melibatkan dua lelaki warga Afrika di sebuah pangsapuri di Gajah Berang, Melaka hari ini.

MELAKA – “Saya terkejut melihat dua lelaki warga asing bersenjatakan parang dan kapak bergaduh dalam keadaan masing-masing berlumuran darah.”

Itu diceritakan saksi kejadian pergaduhan dipercayai melibatkan dua lelaki warga Afrika di sebuah pangsapuri di Gajah Berang di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang bekerja sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kekecohan di salah sebuah unit rumah di tingkat dua pangsapuri terbabit.

“Tidak lama kemudian, saya melihat dua lelaki warga asing terbabit berusia lingkungan 30-an berlari turun dari rumah berkenaan dengan masing-masing memegang kapak dan parang.

“Waktu itu, kedua-dua mereka sudah berlumuran darah dan saling mengejar sehingga ke bangunan sebelah sambil disaksikan beberapa orang awam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, insiden itu berlarutan selama kira-kira 10 minit sebelum salah seorang mereka iaitu penyewa pangsapuri terbabit sempat melarikan diri bersama seorang lagi wanita dipercayai isterinya menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona.

“Pada masa sama, seorang lagi lelaki yang berlumuran darah beredar menaiki sebuah lagi kereta bersama pemandu yang sedang menunggu di hadapan pangsapuri terbabit.

“Saya mengenali salah seorang lelaki warga asing terbabit yang menyewa di sini sejak tujuh bulan lalu bersama seorang wanita yang didakwa isterinya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan berdasarkan maklumat awam mendakwa terlihat pergaduhan terbabit.

“Berdasarkan maklumat awal, kita percaya pergaduhan melibatkan dua lelaki warga Afrika yang juga penuntut sebuah universiti di sini,” katanya.- MalaysiaGazette