Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) N.15 Maharani, Hanis Asmui (kiri) beramah mesra bersama pelajar silat Laksamana Singa selepas menyaksikan aksi mereka sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Parit Amal Darat, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

MUAR – Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) N15 Maharani, Muhammad Hanis Asmui Md. Salleh yakin mampu memikat pengundi muda untuk memilihnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Anak jati Muar yang berusia 28 tahun itu berkata, pelaksanaan Undi 18 dilihat mampu menyebelahi dirinya untuk bersaing dengan calon dari parti-parti utama yang lain.

Muhammad Hanis berkata, beliau diterima baik dalam kalangan anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani sepanjang hampir tiga tahun melakukan kerja di lapangan.

Hanis Asmui. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

“Pertama kali bertanding pada PRN walaupun agak penat tapi saya anggap ia satu cabaran dan peluang sebagai anak muda dalam menunjukkan kemampuan untuk bersaing dengan calon-calon lain.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) hanya ada tiga pilihan di DUN Maharani tapi sekarang pengundi ada enam pilihan termasuk saya selaku calon paling muda.

“Justeru, ia memberi kelebihan kepada diri saya terutamanya dengan pelaksanaan Undi 18 pada PRN Johor kali ini, saya dapat tarik undi anak muda di kawasan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan sesi latihan silat Laksamana Singa sempena kempen PRN Johor di Parit Amal Darat di sini hari ini.

Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) N.15 Maharani, Hanis Asmui (tiga kiri) bergambar bersama pelajar silat Laksamana Singa sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Parit Amal Darat, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2022.

Mengulas lanjut, Muhammad Hanis berkata, terdapat tiga teras utama yang akan diberi perhatian di DUN Maharani sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi berkenaan iaitu membabitkan pemerkasaan anak muda dan ekonomi serta hubungan baik antara kaum.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima ketika berkempen di beberapa kawasan, penduduk di DUN Maharani teruja apabila ada calon anak muda yang bertanding berbanding calon parti lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dirinya berdepan dengan kekangan bajet mahu pun jentera pada PRN Johor, Muhammad Hanis memaklumkan segalanya berjalan lancar, selain menerima sokongan dan bantuan dari parti.

Beliau berkata, hampir 200 jentera bersama-sama membantunya di DUN Maharani sepanjang tempoh dua minggu berkempen.

Sebagai rekod, Muhammad Hanis merupakan lulusan dari DRB-Hicom Universiti Malaysia dalam jurusan Diploma Teknologi Servis Automotif dan kini memegang jawatan sebagai Exco Pemuda PBM di peringkat pusat.

Pada 24 Februari, PBM memutuskan untuk meletakkan calon di empat kerusi DUN pada PRN Johor melibatkan DUN Puteri Wangsa dan DUN Tiram dalam Parlimen Tebrau, DUN Stulang (Johor Bahru) dan DUN Maharani (Muar).

Kerusi DUN Maharani menyaksikan pertembungan enam penjuru di antara Muhammad Hanis dengan calon yang juga penyandang kerusi, Nor Hayati Bachok (Pakatan Harapan), calon Perikatan Nasional, Abdul Aziz Talib; calon Barisan Nasional, Noor Farah Samsuddin; calon Parti Pejuang Tanah Air, Riad Ahmad dan seorang calon bebas, Lim Kim Joo. – MalaysiaGazette