Seorang janda muda beranak dua antara 15 tokan dadah ditahan dalam Ops Tapis Khas Siri 2 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka di sini selama tiga hari berakhir Jumaat lalu.

MELAKA – Seorang janda muda antara 15 tokan dadah ditahan dalam Ops Tapis Khas Siri 2 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka di sini selama tiga hari berakhir Jumaat lalu.

Ketua JSJN negeri, Superitendan Zulkiflee Rashid berkata, wanita berusia 23 tahun dan mempunyai dua anak itu adalah tokan termuda ditahan dalam serbuan yang turut memberkas 103 individu lain.

Operasi menyasarkan kawasan Felda dan kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negeri ini.

Menurutnya, semua yang ditahan membabitkan 96 lelaki dan tujuh perempuan berusia 16 hingga 60 tahun termasuk 15 tokan dadah berusia 23 hingga 53 tahun.

“Ops Tapis Khas kali ini menyasarkan kawasan Felda dan PPRT dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan penagihan dadah yang dikesan banyak melibatkan kawasan terbabit.

“Antara tokan termuda ditahan adalah ibu tunggal dua anak berusia 23 tahun yang memberi alasan mengedar dadah atas faktor kesempitan hidup untuk menyara keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semua yang ditahan disiasat mengikut pelbagai seksyen Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Tambah Zulkiflee, seramai empat individu ditahan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (lima), Seksyen 12 (3) (53), Seksyen 6 (dua), Seksyen 30 Akta Racun 1952 (tiga) dan Seksyen 15 (1) (a) seramai 26 orang.

“Selain itu, enam individu diambil tindakan mengikut
Seksyen 3 (1) ADB (LLPK) 1985 dan empat ditangkap kerana ‘orang dikehendaki’ dalam operasi yang turut melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

“Bagi tempoh sama polis merampas dadah heroin sebanyak 63.99 gram, syabu (46.71 gram), ganja (0.31 gram), cecair ketum (2.4 liter) dan daun ketum 800 gram,” katanya.

Polis turut mengambil tindakan mengikut ADB (Perlucuthakkanharta) 1988 terhadap pengedar dadah membabitkan nilai sitaan RM22,000.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, polis akan terus menggempur kawasan Felda dan PPRT di seluruh negeri bagi membanteras kegiatan penagihan dan pengedaran dadah dan meminta masyarakat bersama-sama menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan dadah.