"Kereta kebal' milik Wak Ajak. jadi tumpuan di Kampung Bongsu Sepadu.

MACHAP – Selain ceramah dan kempen, pilihan raya umum suasana pilihan raya pastinya tambah hangat dengan pemasangan bendera parti di sekitar kawasan yang bertanding.

Di Kampung Bongsu Sepadu, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, perang bendera parti tidak kurang hebatnya.

Tetapi idea kreatif menghiasi kereta Proton Saga dengan bendera sehingga terbentuk ‘kereta kebal’ mencuri tumpuan.

Kereta itu milik Azhar Ishak atau dikenali sebagai Wak Ajak.

Wak Ajak, 58, penduduk jati kampung berkenaan berkata, kereta berhias ini merupakan cetusan idea bersama rakannya dan ia berjaya dihasilkan hanya dalam tempoh tiga hari tanpa modal yang tinggi.

Bendera BN menghiasi ‘kereta kebal’ Wak Ajak.

“Ini merupakan kali pertama saya buat untuk PRN Johor, selalunya saya cuma ikut orang berkempen tetapi kali ini saya cuba buat kelainan.

“Saya buat kereta berhias ini, pertama idea daripada kawan-kawan, kedua untuk parti dan ketiga kami mahu tunjuk pada Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO) semangat penduduk di sini menyokong BN.

“Walaupun ada yang masih belum siap disebabkan kekurangan pelekat tetapi kita dapat juga bawa kereta ini pada Tok Mat.” katanya.

Wak Ajak bergambar bersama kereta yang digunakan untuk berkempen BN,

Tambah Wak Ajak, kos untuk menghasilkan kereta berhias ini hanya sekitar RM60 kerana kebanyakan barang yang digunakan adalah hasil kitar semula ketika Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14).

“Kos untuk kereta hias ini tidak banyak, lebih kurang dalam RM50 hingga RM60 sahaja. Macam pelekat ini ada yang saya tambah dan ada yang ditaja, kemudian plastik bendera yang lama ini memang kita simpan untuk buat kenangan lepas itu kita putuskan untuk pakai balik.

“Saya akan memandu kereta ini untuk ronda kampung, bagi saya ia unik dan memang berhasrat ingin hidupkan suasana PRN ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette