flood Terengganu Kelantan East Coast NADMA APM Abd Latiff Ahmad
The flood situation in Terengganu. PIX: Malaysia Civil Defence Force Keadaan banjir di Terengganu. Foto: Angkatan Pertahanan Awam (APM)

KUALA LUMPUR – Notis kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir di Pantai Timur telah dikeluarkan sejak 23 Februari lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Abd Latiff berkata, notis tersebut telah dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) kepada jawatankuasa bencana negeri-negeri terlibat.

“Antara tindakan drastik lain kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan ialah menyampaikan maklumat, data serta arahan tepat awal dan ia menerima respons positif daripada agensi berkaitan bencana negeri,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang meminta perdana menteri menyatakan langkah-langkah drastik yang diambil oleh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada waktu ini.

Sementara itu, Abd Latiff berkata operasi menyelamat mangsa banjir di tujuh daerah di Kelantan dan lapan daerah di Terengganu pada 26 Februari lepas hingga semalam dijalankan dalam suasana positif dan mendapat kerjasama baik daripada agensi berkaitan bencana negeri.

 

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob akan mengadakan lawatan ke Terengganu dan Kelantan esok bagi meninjau suasana banjir di negeri berkenaan selain mengumumkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Mangsa banjir di Terengganu mencatat seramai 17,742 orang daripada 4,557 keluarga setakat 8 pagi ini dengan 141 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka manakala seramai 7,625 orang daripada 2,483 keluarga ditempatkan di 46 PPS di Kelantan. – Bernama