Abd Jalil.

GEORGE TOWN – Polis menunggu perkembangan siasatan daripada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum menentukan tindakan lanjut terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sudah menyerahkan siasatan itu kepada SPRM bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat.

“Pada masa ini tiada siasatan yang dijalankan oleh pihak polis dan kita akan lihat kemungkinan yang ada daripada SPRM.

“Sekiranya ada bukti lain kita akan siasat, cuma buat masa ini, kita serahkan kepada SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Pendakwaan dan Penguatkuasaan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) Antara Jabatan Peguam Negara dan Agensi-agensi Penguatkuasaan 2022 di Hotel G di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan SPRM merekodkan semula keterangan Rohana susulan pendedahan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta (kira-kira RM41.8 juta). – MalaysiaGazette