Annil Vigneswaran (kanan).

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan muda negara, Annil Vigneswaran membawa khabar gembira apabila dia dilaporkan bakal beraksi bersama kelab divisyen dua liga bola sepak Jerman, SV Sandhausen.

Berita itu dikongsikan oleh Harimau Abroad selepas Annil memuat naik gambar di laman media sosial Instagram Story miliknya yang menunjukkan dia berada di dalam bangunan kelab dan berjumpa dengan pegawai kelab.
Annil sebelum ini beraksi bersama kelab divisyen lima iaitu SGV Freiburg dan dia menjadi sebahagian daripada skuad B-23 tahun negara yang beraksi di peringkat kelayakan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia pada tahun lalu.

Penyenaraian Annil Vigneswaran dalam skuad negara itu mencetus tanda tanya namun ketua jurulatih, Brad Maloney menyatakan dia dan staf kejurulatihan sudah lama memantau perkembangan Annil.

Ketika ini, SV Sandhausen berada di tangga ke-16 dalam carta liga 2. Bundesliga dengan mengumpul 25 mata selepas menghadapi 23 perlawanan.

Dengan kekal beraksi di Jerman, Annil menyertai beberapa pemain muda lain yang beraksi di Eropah seperti Luqman Hakim Shamsuddin (KV Kortrijk) dan Amar Makruf (AD Alcorcon). – MalaysiaGazette