KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 buah syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) diberi lesen Pengelola Jemaah Haji untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1443H/2022M.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pelantikan 22 PJH ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan oleh TH saban tahun.
”Setakat hari ini, Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1443H/2022M daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
”Justeru, kesemua PJH yang dilesenkan pada hari ini tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.
Sehubungan itu, bakal haji yang berhasrat untuk menunaikan haji melalui PJH diminta untuk tidak menyerahkan sebarang wang deposit kepada syarikat selagi mana belum mendapat surat tawaran tunai haji.
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, TH mengingatkan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah waspada kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.
Senarai PJH yang menerima lesen ini boleh disemak di laman web rasmi TH (http://www.tabunghaji.gov.my) dan seperti di lampiran.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC)di talian 03-6207 1919. – MalaysiaGazette