Calon SPM 2021 SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang menduduki hari pertama peperiksaan.

GEORGE TOWN – Seramai 137 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pulau Pinang tidak dapat menduduki peperiksaan tersebut selepas mereka diarahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, calon terlibat terdiri daripada mereka yang disahkan positif Covid-19 dan berstatus kontak rapat.

Abdul Rashid.

“Mengikut pecahan 98 calon disahkan positif Covid-19 manakala 39 lagi berstatus kontak rapat.

“Mereka dijangka akan mengambil peperiksaan SPM fasa dua yang mana tarikhnya akan ditentukan oleh Lembaga Peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Rashid berkata, seramai 20,051 calon SPM 2021 di Pulau Pinang membabitkan 150 pusat peperiksaan.

“Mengikut statistik calon membabitkan sekolah kerajaan seramai 18,427 dan diikuti dengan persendirian (872), MRSM (369), swasta (175) dan Sekolah Agama Negeri (158) dan Sekolah Agama Rakyat (50).

“Seramai 123 daripada jumlah keseluruhan itu merupakan calon berkeperluan khas yang terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah pendengaran seramai 22 calon, rabun (22), buta (3) dan lain-lain.

“Selain itu, sebanyak 15 hospital membabitkan lima daerah di negeri ini dijadikan pusat peperiksaan sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang isu membabitkan kesihatan dan setakat ini hanya seorang calon mengambil peperiksaan di hospital,” kata Abdul Rashid.

Terdahulu Kementerian Pendidikan mengumumkan seramai 407,097 calon SPM di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini hingga 29 Mac depan.

Dalam masa yang sama, seramai 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut membabitkan 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara. – MalaysiaGazette