SHAH ALAM – Seramai 219 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor masih menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat dan disahkan positif Covid-19.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri, Datin Nor Faridah A Bakar berkata, pelajar berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan SPM pada fasa kedua pada April ini.
”Jadi untuk mereka yang tidak dapat menduduki fasa ini jangan bimbang, ibu bapa juga jangan bimbang tentang peluang anak-anak yang sedang kuarantin dan positif Covid-19.
“Yang habis kuarantin pada minggu ini boleh duduki peperiksaan pada minggu depan,” katanya selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, di sini, hari ini.
Menurutnya, seramai 73,938 calon SPM di Selangor menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini.
Jumlah berkenaan melibatkan calon persendirian dan berkeperluan khas yang membabitkan 508 pusat peperiksaan di Selangor, ujarnya.
Sementara itu, Nor Faridah berharap semua calon SPM mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar tidak berlakunya penularan jangkitan Covid-19 ketika tempoh peperiksaan berlangsung.
”Kita mohon semua pihak dapat memberikan kerjasama,” tambahnya.
Seramai 407,097 calon SPM di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini hingga 29 Mac depan.
Dalam masa yang sama, seramai 50,514 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut membabitkan 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara. – MalaysiaGazette