KUALA LUMPUR – Seramai 44 orang pengunjung pusat hiburan di ibu kota dikenakan kompaun, masing-masing RM1,000 kerana melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (KPJKK), SAC Datuk Azman Ayob berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan menerusi serbuan yang dilakukan malam tadi oleh sepasukan pegawai Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur

Katanya, dalam masa yang sama pemilik pusat hiburan berkenaan juga dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Jelasnya, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan semalam adalah sebanyak RM45,000.

Sementara itu Azman berkata, bermula 1 Januari sehingga kini, JPJKK Kuala Lumpur telah mengeluarkan sebanyak 451 kompaun berjumlah RM451,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur.

Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan, ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.-MalaysiaGazette