Jenazah banjir

TUMPAT – Jenazah seorang warga emas dari Kampung Kajang Sebidang di sini terpaksa dibawa menggunakan bot hampir dua kilometer dari rumahnya untuk dikebumikan petang tadi, berikutan kawasan penempatan itu masih dilanda banjir sejak Ahad lepas.

Shahril Mohd Othman,19, berkata datuknya Sulong Ahmad,88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 10 pagi tadi dan jenazah dibawa keluar dari kampung itu pada 2 petang menggunakan bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor.

Shahril berkata perancangan awal untuk mengebumikan datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang juga terpaksa ditukar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Kechik disebabkan kawasan itu digenangi air.

“Kami menghubungi pihak berkuasa sekitar 12 tengah hari tadi untuk meminta bantuan bot bagi membawa keluar jenazah dari kediaman kami menuju ke Kampung Jejulok kerana van jenazah menunggu di sana,” katanya kepada pemberita di Kampung Jejulok di sini hari ini.

Jenazah yang tiba kira-kira 3.45 petang itu kemudian turut diusung oleh Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang kebetulan hadir untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua BBP Pengkalan Kubor Raja Arisansahseni Raja Semail berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 12.20 tengah hari tadi daripada ahli keluarga Allahyarham Sulong untuk memohon bantuan bot.

“Pihak kami terpaksa menunggu keputusan ujian calitan COVID-19 terlebih dahulu sebelum menghantar dua anggota dengan sebuah bot bagi membawa jenazah.

“Operasi ini telah menjadi tugas khas kami terutama ketika banjir seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

— BERNAMA