Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin semasa mengadakan lawatan pada hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 di SMK Kota Masai, Pasir Gudang, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan Malaysia memberi jaminan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan 147 buah sekolah menengah di negeri ini sebagai pusat membuang undi tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang bermula hari ini.

Ini kerana, SPR tidak akan menjadikan kelas-kelas peperiksaan sebagai pusat mengundi, kata Menteri Pendidikan Kanan, Datuk Dr Radzi Jidin.

“Sebelum ini kita memang berbincang dengan SPR sekiranya boleh tidak menggunakan sekolah menengah, namun disebabkan kekangan tertentu, sebanyak 147 sekolah menengah akan digunakan.

“Jadi keputusan dibuat walaupun sekolah digunakan, ia tidak akan sentuh bilik peperiksaan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 sempena hari pertama SPM hari ini.

Katanya, untuk PRN Johor beberapa sekolah rendah juga terlibat sebagai pusat membuang undi.

SPM 2021 menyaksikan seramai 407,097 calon menduduki peperiksaan di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara manakala seramai 50,317 daripada mereka merupakan calon di negeri ini.

Tambah Radzi, proses sanitasi akan dilakukan sejurus sahaja tamat proses pengundian bagi memastikan kawasan berkenaan dinyah cemar.

Sebelum ini,  beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) negeri ini membantah keputusan SPR menggunakan sekolah menengah sebagai pusat pembuangan undi dalam PRN Johor ini.- MalaysiaGazette