Seorang lelaki diiring pegawai Polis dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman berkaitan kes kerana melakukan provokasi terhadap anggota Polis semasa Sambutan Hari Kebangsaan, di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 02 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Tindakan seorang lelaki yang didakwa merempuh dan menolak orang awam sehingga mencetuskan kekecohan pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya berakhir dengan penahanan dan reman sehari.

Lelaki berusia 30-an itu direman bagi membantu siasatan selepas polis menerima empat laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi pada 31 Ogos lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas membenarkan permohonan polis.

Lelaki terbabit yang memakai jubah berwarna coklat tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 8.40 pagi dengan diiringi anggota polis dan dibawa keluar kira-kira jam 11 pagi selepas proses reman selesai.

Semalam, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, polis mengesan video yang dimuat naik di Facebook menerusi akaun ‘Anwar Captain Goose’ yang memaparkan lelaki tempatan berbaju coklat dipercayai melakukan provokasi.

Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk sehingga tercetus aksi tolak-menolak dan menyebabkan beberapa individu terjatuh.

“Susulan itu, lelaki terbabit diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta tindakan lelaki terbabit yang didakwa mencetuskan kekecohan ketika orang awam sedang menunggu untuk mendapatkan tempat duduk bagi sambutan Hari Kebangsaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here