Ahmad Fadhli Shaari.

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memberikan penjelasan terbuka berhubung dakwaan tunggakan bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai banyak bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kendalian KKDW masih tertunggak adalah mengejutkan dan menunjukkan isu itu serius.

“Sudah tentu isu ini sudah sampai ke peringkat yang sangat serius sehingga Timbalan Perdana Menteri sendiri selaku menteri yang berkaitan terpaksa menyebutnya secara terbuka.

“Inilah kali pertama rakyat menyaksikan bagaimana seorang timbalan perdana menteri menyebut isu berkaitan urus tadbir khusus di bawah menteri kewangan yang juga perdana menteri tanpa berselindung lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Fadhli mendakwa, rakyat sedang melihat isu ini dengan penuh bimbang kerana adakah kerajaan sebenarnya sedang berkonflik sesama sendiri.

Dan, kenapa menteri kewangan memilih untuk menangguhkan bayaran yang sepatutnya diselesaikan segera, khususnya apabila ia melibatkan kementerian yang paling dekat dengan rakyat luar bandar.

Beliau mengandaikan hanya ada dua kemungkina dan kedua-duanya membimbangkan.

“Pertama, kerajaan sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius sehingga mengganggu aliran tunai. Atau yang kedua, kerajaan sengaja menangguhkan bayaran sebagai satu bentuk gangguan terhadap kementerian yang diketuai oleh Presiden UMNO atas alasan yang semua pihak boleh membacanya khususnya selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

“Jangan sabotaj kerajaan sendiri. Sekalipun Kerajaan Madani sudah berada di hujung tanduk, tetapi selagi mandat masih berbaki, pentadbiran negara perlu berjalan dengan sempurna demi kebaikan rakyat tanpa mengira warna bendera politik,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, sekiranya Kerajaan Madani sudah tidak lagi berminat mentadbir negara, mandat sewajarnya dikembalikan kepada rakyat.

“Sebagaimana kata perdana menteri sendiri ketika berucap sebelum PRN Johor, kita serahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, selagi mandat masih ada, kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah demi kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette

“Bukan marah, saya ‘hot’ saja” – Ahmad Zahid tegur isu kelewatan bayaran kontraktor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here